FUTSAL LELAKI PSKK 2026: LHDNM UNGGULI KEJUARAAN!

FUTSAL LELAKI PSKK 2026: LHDNM UNGGULI KEJUARAAN

SHAH ALAM, 16 November 2026 – Saingan acara futsal lelaki Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) 2026 yang berlangsung di Sportizza, Batu Tiga, Shah Alam melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) muncul juara selepas menewaskan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan keputusan 5-1 dalam perlawanan akhir.

Perjalanan menuju ke pentas kejuaraan menyaksikan persaingan sengit antara kontinjen yang bermula sejak peringkat kumpulan pada 14 November lalu. Sebanyak 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap pasukan berusaha meraih kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat kalah mati.

Antara pasukan yang mencuri tumpuan ialah LHDNM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang peringkat kumpulan. LHDNM mencatatkan kemenangan besar 7-0 ke atas Perbendaharaan Malaysia dan 7-1 ke atas Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), manakala KWSP pula menewaskan Bank Negara Malaysia 6-0 dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) 7-1.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut menunjukkan aksi meyakinkan dalam Kumpulan C apabila mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Bursa Malaysia dan 3-1 ke atas Suruhanjaya Sekuriti. Sementara itu, BSN menguasai Kumpulan D menerusi kemenangan 4-0 ke atas Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan 3-0 ke atas Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Memasuki peringkat suku akhir pada 15 November, LHDNM meneruskan momentum apabila membelasah JPPH 10-1. KWSP pula berjaya menewaskan Suruhanjaya Sekuriti 4-3 dalam perlawanan sengit. Dua lagi pasukan yang mengesahkan kemaraan ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menewaskan Bank Negara Malaysia 2-1 dan BSN yang mengatasi Perbendaharaan Malaysia dengan keputusan 2-1.

LHDNM DAN BSN MELANGKAH KE FINAL MENERUSI PENENTUAN SEPAKAN PENALTI

Aksi separuh akhir pada 16 November menyaksikan dua perlawanan yang cukup mendebarkan apabila kedua-dua perlawanan berakhir dengan keputusan seri selepas masa permainan sebenar.

Dalam separuh akhir pertama, LHDNM dan KWSP terikat tanpa jaringan 0-0 sebelum LHDNM berjaya mengesahkan tiket ke final menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-2.

Sementara itu, pertembungan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan BSN turut berakhir dengan keputusan seri 1-1. BSN kemudian mempamerkan ketenangan ketika penentuan sepakan penalti apabila berjaya menewaskan Jabatan Kastam dengan keputusan 2-0 untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Kemuncak kejohanan menyaksikan LHDNM berdepan BSN dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada petang 16 November. LHDNM mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menewaskan BSN dengan keputusan 5-1, sekali gus mengesahkan kejuaraan futsal lelaki PSKK 2026.

Sementara itu, KWSP dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang kecundang di peringkat separuh akhir berkongsi kedudukan tempat ketiga berdasarkan format kejohanan yang menetapkan kedudukan tempat ketiga secara automatik bagi pasukan yang tewas di separuh akhir, KWSP dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya membawa pulang pencapaian tempat ketiga tanpa perlawanan penentuan tambahan.

Secara keseluruhannya, kejohanan futsal lelaki PSKK 2026 telah menyaksikan aksi penuh semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan persaingan sihat antara agensi di bawah Kementerian Kewangan dan tahniah diucapkan kepada LHDNM atas kejayaan merangkul kejuaraan, BSN sebagai naib juara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *