Cabutan Undian PSKK 2026 Buka Tirai Persaingan

BANGI, 2 Oktober 2026 – Bahang Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) 2026 semakin dirasai apabila Majlis Cabutan Undian Acara Sukan PSKK 2026 berlangsung dengan jayanya di EPF Learning Campus (ELC), Bangi.

Majlis yang menghimpunkan wakil agensi Kementerian Kewangan ini menjadi platform penting dalam menentukan kumpulan dan laluan pertandingan menjelang kejohanan yang bakal berlangsung pada November 2026.

Majlis diserikan dengan kehadiran Puan Sharifah Saidatul Balkiah binti Syed Rohani, Setiausaha Agung MKSAKK, yang menzahirkan penghargaan kepada KWSP selaku tuan rumah PSKK 2026 atas pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan, termasuk penggunaan microsite rasmi PSKK, sistem pendaftaran digital dan siaran langsung cabutan undian.

Wakil tuan rumah, Ahmad Jefry Abd Hashim, turut berkongsi perkembangan semasa persiapan kejohanan yang melibatkan aspek venue, penginapan, logistik dan operasi, yang kini berada pada tahap yang memberangsangkan.

Selain itu, peserta turut menerima taklimat mengenai Majlis Perasmian PSKK 2026 serta Pertandingan Persembahan Kontinjen, sebagai persediaan awal untuk semua agensi yang bertanding.

Kemuncak majlis menyaksikan sesi cabutan undian bagi acara-acara sukan PSKK 2026 yang dilaksanakan secara telus dan terbuka dengan penglibatan wakil agensi. Turut hadir ialah Encik Noor Hisham Affizam bin Shamsuddin, Setiausaha Agung MAKSAK Malaysia, yang menyempurnakan cabutan undian bagi acara pengenalan iaitu Pickleball.

Dengan selesainya proses cabutan undian, setiap kontinjen kini boleh memberi fokus kepada persiapan terakhir bagi menghadapi saingan PSKK 2026.

PSKK 2026 bukan sekadar medan persaingan, malah platform memperkukuh semangat kesukanan, mengeratkan hubungan antara agensi dan membina legasi kecemerlangan warga Kementerian Kewangan.

PESTA SUKAN KEMENTERIAN KEWANGAN (PSKK) 2026

“MEMACU PRESTASI, MEMBINA LEGASI” ✨

#PSKK2026 #RoadToPSKK2026 #MKSAKK #KementerianKewangan #MemacuPrestasiMembinaLegasi