TAKLIMAT PENGURUS PASUKAN 2.0 PERKUKUH KESEDIAAN KONTINJEN MENJELANG PSKK 2026

Selangor, 29 Oktober 2026 – Bagi memastikan kelancaran penganjuran Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) 2026, siri Taklimat Pengurus Pasukan 2.0 telah dilaksanakan secara dalam talian bermula 16 hingga 29 Oktober 2026, melibatkan semua pengurus pasukan mengikut acara sukan yang dipertandingkan.

Sesi taklimat yang diadakan secara berperingkat mengikut acara ini bertujuan memperincikan syarat dan peraturan am pertandingan, di samping memberi penjelasan lebih mendalam mengenai syarat dan peraturan khusus setiap acara bagi memastikan semua agensi memahami sepenuhnya format pertandingan yang bakal dilaksanakan.

Antara fokus utama taklimat kali ini adalah penerangan mengenai format pertandingan berkategori yang diperkenalkan bagi beberapa acara yang sebelum ini diadakan secara berpasukan. Berbeza dengan edisi terdahulu, pendekatan baharu ini menyaksikan acara seperti badminton (5 kategori), ping pong (5 kategori), dart (5 kategori), karom (5 kategori), tenpin boling (4 kategori), catur (3 kategori) dan sepak takraw (3 kategori) dipertandingkan mengikut kategori yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan kategori khusus ini diyakini mampu memberi nilai tambah kepada kejohanan apabila setiap agensi dan atlet dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kategori yang diwakili. Selain meningkatkan tahap persaingan, format tersebut turut membuka lebih banyak peluang kepada kontinjen untuk merancang strategi terbaik dalam usaha memburu kejayaan.

Dengan 38 pingat emas menjadi rebutan menerusi acara berpasukan dan berkategori ini, persaingan dijangka lebih sengit apabila setiap pingat yang diraih bakal memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan keseluruhan kontinjen pada PSKK 2026.

Taklimat Pengurus Pasukan 2.0 ini juga menjadi platform penting bagi menyelaras kefahaman semua pihak terlibat agar perjalanan pertandingan dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan mengikut ketetapan yang telah ditetapkan sepanjang temasya sukan berlangsung nanti.

“Fokus kepada setiap acara dan kategori, fokus kepada strategi, dan fokus kepada pingat.” Itulah cabaran yang bakal dihadapi setiap kontinjen dalam memburu kegemilangan di pentas PSKK 2026.

#PSKK2026 #MemacuPrestasiMembinaLegasi